'Siapa Pemimpin No 1 Pembangkang'

Shah Alam - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pembangkang tidak sepakat untuk menamakan hanya seorang pemimpin menerajui gabungan itu.

Katanya, keputusan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi) selain Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden gabungan pembangkang itu agak mengelirukan dan cacamarba.

"Ini ada tiga pemimpin (iaitu) pengerusi, presiden dan ketua umum. Siapa yang akan membuat keputusan? Kalau menang, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri? Ketiga-tiganya?

"Bagi saya, akhirnya mereka akan bergaduh sesama sendiri kerana masing-masing akan menunjukkan dia adalah ketua sebenar. Pakatan mereka ini hanya untuk menggunakan logo yang sama saja untuk pilihan raya, saya percaya itu saja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini. Yang turut hadir, ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Kamaruzzaman Johari dan Ketua Wanita Bahagian Kota Raja, Nahar Ahmad.

Terdahulu ketika berucap, Ismail Sabri berkata, jika UMNO di Kota Raja mampu memenangkan calon BN dengan usaha sendiri, faktor luaran seperti persempadanan semula dan sokongan PAS adalah satu bonus kepada kejayaan itu.

Katanya, setiap ahli UMNO perlu melihat situasi yang tidak memihak kepada parti itu termasuk permohonan persempadanan semula tidak dibenarkan atau PAS tidak menyatakan sokongan dan bersedia menghadapinya.

"Jangan satu kerusi rebut ramai-ramai. Kalau kita boleh bekerjasama, Insya-Allah boleh menang kerana Kota Raja kita pernah menang sebelum ini. Yang penting turun bawah dan bertemu dengan pengundi," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan