'Dr Mahathir Lupa Perjuangan Tun Razak'

Alor Gajah - Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah menjadi semakin pelupa apabila mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak Hussein mengurus peneroka yang belum menjadi jutawan sehingga kini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) itu berkata, pendekatan asal Razak membangunkan FELDA ialah untuk membasmi kemiskinan melalui pelaksanaan projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

"Dr Mahathir lupa, pendekatan Tun Razak dalam konsep FELDA untuk mengangkat seberapa ramai yang boleh keluar daripada kemiskinan dan bukannya mewujudkan kumpulan kecil, elit atau kroni kaya.

"Kalau setiap peneroka dapat 100,000 ekar (40,000 hektar), kayalah mereka (peneroka) tetapi bilangan yang akan mendapat manfaat tidak akan sama macam hari ini.

"Hari ini, kita bantu lebih 110,000 peneroka dengan 1.2 juta tanggungan lain, tapi kalau pendekatan Dr Mahathir ikut hasil kroni, kita tidak akan lihat negara hari ini dapat mengangkat sebahagian masyarakat kampung dan luar bandar keluar daripada garis kemiskinan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir mengadakan perjumpaan bersama peneroka Felda di Kota Tinggi, Johor semalam.

Dalam pertemuan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan mendakwa Razak melakukan kesilapan dalam merencana badan berkanun itu kerana hanya memberikan 10 ekar (empat hektar) tanah menyebabkan peneroka tidak menjadi jutawan.

Terdahulu, Shahrir menghadiri program Karnival Negaraku Sehati Sejiwa dan Sambutan Aidilfitri di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Machap, Hutan Percha, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan