'Sokong Calon, Pastikan BN Menang'

Seremban - Ahli UMNO perlu menyokong sepenuhnya setiap calon yang dipilih oleh pengerusi perhubungan masing-masing, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika wujud isu sabotaj sesama sendiri, sukar untuk mana-mana parti sekali pun untuk menang.

Katanya, tiada sebab untuk ahli tidak menyokong calon yang dipilih kerana setiap ahli perlu akur dengan pemilihan pucuk pimpinan.

"Mungkin yang bertanding kali ini bukan kita, tapi akan datang mungkin kita pula. Jadi jangan sabotaj kawan yang bertanding kerana jika kita yang tercalon, apa perasaan jika kawan pula yang sabotaj kita.

"Kita perlu mengharapkan sokongan sesama sendiri. Jika kita kalah siapa yang rugi, orang tidak akan cakap kita yang kalah tetapi orang akan cakap Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang kalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Rasah di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi.

Ismail Sabri berkata, ketika ini semua ahli perlu ketepikan kepentingan peribadi, dan mengutamakan kepentingan parti terlebih dahulu.

Katanya, jika dilihat PRU sebelum ini, ramai yang menang tipis dan jika isu sabotaj masih wujud, sudah tentu akan terus mengalami kekalahan.

"Apa yang penting sekarang adalah terus bersatu dalam memastikan perjuangan UMNO dan demi kepentingan serta masa depan Melayu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan