Pengerusi Baharu MARA Diumum Bulan Depan

Pasir Putih - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyenaraikan beberapa calon sebagai Pengerusi MARA.

Senarai calon itu bakal diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak untuk diteliti sebelum dijangka diumumkannya pada 1 September depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya menyenaraikan beberapa calon bagi memudahkan Perdana Menteri membuat pilihan.

Bagaimanapun, beliau berkata , pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti calon yang bakal menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

"Seorang daripada tiga (atau), empat calon ini bakal meneruskan kesinambungan memartabatkan bangsa Melayu berikutan MARA adalah sebuah institusi Melayu yang agak besar di negara ini.

"Setakat ini, MARA berjaya melahirkan kira-kira 1.2 juta pelajar Melayu yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing dan itu satu petanda agak baik kepada negara.

"Justeru, calon yang bakal dipilih itu perlu bekerja lebih keras, berdedikasi dan memiliki semangat juang tinggi mempertahankan MARA," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Dewan Uthmaniyah di Pulau Lima, Semerak, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zukifle Ali.

Annuar dilantik yang sebagai Pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 dan perkhidmatannya disambung pada 12 Ogos 2015 sebelum digantung Januari lalu berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan.

Kontrak beliau sebagai Pengerusi MARA tamat hari ini dan surat pertimbangan supaya pelantikan semula tidak disambung sudah dihantar kepada Perdana Menteri, 2 Ogos lalu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan