Teruskan Perjuangan, Jangan Toleh Ke Belakang

Johor Bahru - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak meneruskan perjuangan dan tidak menoleh ke belakang mengingati kisah lama.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walau apa pun cabaran yang dilalui ketika ini, perjuangan tetap perlu diteruskan.

"Itu semua perkara lama, kita kena ada daya tahan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang. Bila kita pandu kereta, kita tidak boleh toleh ke belakang kerana kita akan kemalangan. Sesekali kita boleh jeling dan tengok cermin ke belakang.

"Ertinya kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam perjuangan kita. Kita kena teruskan perjuangan kita," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai, di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ahmad Zahid mengingatkan semua bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang dianggap sebagai ibu kepada PRU dan peperangan besar.

"Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan. Kita memerlukan komitmen semua untuk memastikan kemenangan," katanya.

Katanya, tanggungjawab ahli memastikan 'rumah' UMNO dipertahankan dan jika perlu usaha dilakukan bagi membaikinya.

"Kita tahu rumah UMNO dah lama dah berusia 71 tahun, akan ada lantai rosak, dinding berlubang, bumbung bocor. Kalau perlu kita baiki tetapi kita perlu pertahankannya kerana tiang serinya masih kukuh," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan