Perdana Menteri Lulus Peruntukan RM8 Juta Untuk Parlimen Machang

Machang - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi meluluskan peruntukan lebih RM8 juta bagi pembangunan di daerah ini.

Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan jalan perhubungan desa berjumlah RM5 juta, program ameniti sosial bernilai RM2 juta dan projek khas membaik pulih masjid serta musala berjumlah RM1.53 juta.

"Saya akan terus bantu negara ini apatah lagi Machang dan akan meluluskan permintaan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

"Semua peruntukan itu termasuk membaik pulih 100 rumah miskin, longkang dan baiki jalan kampung," katanya ketika berucap pada Program PM Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Machang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Terdahulu, Ahmad Jazlan ketika menyampaikan ucapan, berkata memandangkan Machang berada di luar kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membuatkan rakyat di daerah ini 'terkontang-kanting' menerima pembangunan.

"Justeru, saya mohon peruntukan RM5 juta untuk jalan perhubungan desa, Program Emuniti Sosial bernilai RM2 juta dan Projek Khas untuk membaik pulih masjid dan musala berjumlah RM1.5 juta.

"Saya hanya orang tengah kepada rakyat di daerah ini bagi mendapatkan kemudahan dan kesenangan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan