Fikir Dulu Sebelum Kongsi Di Laman Sosial

Port Dickson - Guru yang aktif di laman sosial termasuk Facebook, dinasihat supaya memikirkan dulu kesan setiap perkongsian pengalaman mereka bagi mengelakkan kesan negatif kepada pelajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata guru perlu bertindak secara rasional dan matang dalam menentukan sama ada sesuatu perkara itu sesuai atau tidak untuk disebarkan.

"Perkongsian pengalaman di laman sosial sebenarnya dilakukan oleh semua orang, bukan guru sahaja. Tapi seseorang perlu ada pertimbangan yang wajar sebelum berkongsi sesuatu (kerana ia boleh dibaca ramai orang dan tersebar luas).

"Ada sesetengah perkongsian boleh mendatangkan kesan negatif, termasuk memalukan murid itu sendiri," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mahdzir mengulas mengenai beberapa perkongsian oleh pemilik akaun Facebook mengenai pengalaman membabitkan guru dan pelajar yang menjadi viral, termasuk kisah seorang murid perempuan Tahun Lima menghantar surat cinta kepada gurunya, baru-baru ini.

Perkongsian sedemikian menimbulkan perdebatan kerana banyak pihak berpendapat tindakan itu memalukan murid yang terbabit serta menghilangkan kepercayaan pelajar kepada guru untuk jangka masa panjang.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan