Kerajaan Komited Tingkat Tiga Rangkaian Pengangkutan Darat

Kuala Lumpur - Transformasi rangkaian pengangkutan awam negara berjaya mengubah kemudahan infrastruktur negara kepada era baharu dalam kehidupan masyarakat.

Menerusi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara (NLPTMP) yang menumpukan kepada tiga cabang perkhidmatan iaitu rel, bas dan teksi menyaksikan kerajaan komited untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata strategi yang dirangka itu adalah hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam pilihan utama pengguna.

"Transformasi yang dilakukan kerajaan berjaya membawa impak yang besar terhadap pengangkutan awam darat.

"Menerusinya, perkhidmatan rel akan menjadi tulang belakang kepada pengangkutan awam, manakala bas dan teksi pula sebagai pelengkap dan penghubung kepada akses pengangkutan," katanya.

Justeru bagi memberi peluang kepada rakyat untuk melihat transformasi yang dilakukan oleh kerajaan terhadap pengangkutan awam darat, SPAD menganjurkan Simposium Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2017 selama dua hari pada Ahad dan Isnin depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mohd Azharuddin berkata, acara tahunan yang kali mengangkat tema Reimaging Transportation: Sustainable Mobility itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan turut menyampaikan dan menyerahkan buku Aspirasi TN50.

Selain itu, seramai 19 panel dan pakar daripada pelbagai negara yang akan berkongsi pengetahuan dan pemahaman mereka dalam industri pengangkutan awam.

Malah sepanjang dua hari berlangsungnya simposium ini, pameran yang dijalankan juga membuka peluang kepada kepada pengunjung untuk mencuba pelbagai aktiviti interaksi yang disediakan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan