Hubungan Malaysia-AS Pada Tahap Terbaik

Kuala Lumpur - Hubungan di antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berada pada tahap terbaik selepas lawatan kerja, Datuk Seri Najib ke Washington DC, pada September lalu.

Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique, berkata perjumpaan Perdana Menteri dengan Presiden AS, Donald Trump jelas menunjukkan persefahaman bagi membantu memperkukuhkan ekonomi negara masing-masing.

Selain itu, katanya, Najib tidak melepaskan peluang berinteraksi termasuk memberi gambaran hubungan Malaysia-AS ketika ini kepada pelajar Malaysia di AS pada lawatan berkenaan.

"Perdana Menteri bertemu dengan semua lapisan masyarakat di sana dengan hari pertama sesi makan malam bersama-sama pelajar dan rakyat Malaysia.

"Selepas acara kemuncak bertemu Trump di Rumah Putih, beliau berucap dalam majlis makan malam anjuran bersama Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) dan Dewan Perniagaan AS di Hotel St Regis.

"Semua sesi perjumpaan itu bagi memberi gambaran Malaysia bukan sahaja ingin memperkuatkan hubungan perniagaan dengan AS, malah ia termasuk usahasama dua hala.

"Menteri Kabinet lain juga akan adakan lawatan susulan ke AS nanti bagi membincangkan sebarang isu berbangkit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Piala Juara Lembah Klang, di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah, Datuk Razlan Rafi dan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kuala Lumpur, Datuk Mohd Irwan Rizal.

Lagenda Selangor menundukkan Lagenda Kuala Lumpur dengan skor 2-1, sekaligus membawa pulang piala berkenaan.

Sementara itu, Razlan berkata, Piala Juara Lembah Klang ialah acara tahunan sejak 2015 bagi mengembalikan semangat kesukanan bola sepak terutama dalam kalangan anak muda.

"Kita harap perlawanan seperti ini dapat menyuntik semangat anak tempatan untuk memberi sokongan penuh kepada pasukan bola sepak tempatan terutama pasukan Kuala Lumpur yang kini berada di Liga Perdana Malaysia.

"Kita mahu suasana seperti dahulu, di mana setiap minggu stadium dipenuhi dengan penyokong.

"Ia sedikit sebanyak akan memberi tonik tambahan kepada pemain Kuala Lumpur untuk memberikan prestasi yang lebih baik seterusnya melayakkan pasukan berkenaan ke Liga Super, pada musim baharu nanti," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan