Guan Eng Mesti Letak Jawatan Susulan Kecuaian Pentadbiran Yang Menyebabkan Kematian

Ada 2 ucapan khusus untuk rakyat di Pulau Pinang.

Takziah, atas kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan 9 nyawa melayang serta 2 yang lain masih hilang. Ucapan takziah juga di atas kerosakan alam sekitar yang sedang rakus di sana.

Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berhormat Lim Guan Eng, kerana di atas dasar dan kepimpinan yang gila kuasa, akhirnya projek ini telah membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Seluruh negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa di sebuah projek kondominium di atas lereng bukit yang tidak terkawal yang berlaku di Pulau Pinang.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di George Town yang mengorbankan 9 nyawa sehingga sekarang merupakan tragedi paling buruk dalam sejarah Pulau Pinang.

Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh 2 bulan penduduk di George Town mengalami kejadian terburuk dalam sejarah.

15 Sept 2017 : Banjir kilat terburuk di George Town. 21 Sept 2017 : Banjir kilat dan tanah runtuh yang mengakibatkan pokok tumbang yang menyebabkan jalan utama ke Balik Pulau dan George Town terhalang.

21 Okt 2017 : Kejadian tanah runtuh Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Jika diamati kronologi kejadian alam ini, ia sudah tentu mempunyai hubungan yang kuat antara dasar manusia terhadap alam sekitar.

Siapa pembuat dasar kerajaan di Pulau Pinang? Sudah tentu Lim Guan Eng. Dan siapa yang menangungnya? Sudah tentu rakyat dan alam semula jadi di Pulau Pinang.

Melihat semula kejadian tanah runtuh ini, ia sebenarnya boleh dielakkan jika Lim Guang Eng mendengar keluh kesah dan aduan rakyat terhadap permasalahan ini.

Hinggakan permasalahan ini juga telah dibangkitkan oleh wakil penduduk, NGO dan wakil rakyat Adun DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sendiri yang banyak kali telah menentang pelaksanaan projek ini.

Malangnya ia langsung tidak diambil serius oleh Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Jika wakil rakyat daripada DAP sendiri bersuara tetapi tidak dipandang oleh Lim Guan Eng, apatah lagi wakil rakyat bukan kerajaan yang sering kali bersuara tentang kebajikan dan permasalahan di negeri ini? Lagilah tidak akan dipandang.

Projek pembangunan kondominium mewah ini jelas tidak mengikut spesifik pelan pembangunan di tanah bukit pada ketinggian melebihi 75 meter.

Ia sepatutnya tidak dibenarkan dalam keadaan apa sekali pun dan sebarang kelulusan untuk pembangunan hendaklah selaras serta mematuhi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020.

Selain daripada itu, Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) juga telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan kelulusan projek di Lembah Permai kononnya ia telah mematuhi Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi (NRE 2005 ).

Bagaimana pihak PBT boleh meluluskan projek ini walhal Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah menolak pemohonan untuk projek ini pada 23 Januari 2015 tetapi malangnya ia diluluskan juga PBT pada 10 Februari 2015?

Ketika pelbagai bantuan yang sedang disalurkan oleh pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan pusat termasuk dengan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), seperti biasa Lim Guang Eng pastinya mahu lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab.

Malah sehingga sekarang tiada langsung kenyataan permohonan maaf daripada beliau terhadap tragedi ini.

Sungguhnya kejadian ini merupakan satu balasan dan ingatan daripada alam kepada Lim Guan Eng dan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Balasan di atas kerakusan menarah lereng-lereng bukit hinggakan mencederakan sifat bukit sebagai paru-paru bumi kerana rakusnya mengejar pembangunan yang tidak terkawal ini.

Nyawa mana lagi yang mahu dibunuh Lim Guan Eng selepas ini?

Fikri Allaudin
Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor

Post Metro Online

Artikel Berkaitan