Wujudkan "Firewall" Atasi Judi Dalam Talian

Serdang - Kerajaan akan bekerjasama dengan Interpol dan syarikat telekomunikasi untuk membangunkan 'firewall' bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian yang semakin parah.

Pada masa sama, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 akan dipinda bagi menangani kegiatan perjudian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan memandang serius kegiatan perjudian dalam talian kerana kaitannya dengan jenayah rentas sempadan.

Katanya, laporan Ketua Polis Negara menunjukkan perjudian melalui kaedah bukan konvensional telefon pintar (online) menguasai aktiviti perjudian.

"Di belakang taukeh judi adalah kongsi gelap. Ia (perjudian) membiayai kegiatan kongsi gelap termasuk penyeludupan senjata, manusia dan dadah.

"Ada hubung kait kegiatan judi dengan jenayah lain dan sebab itu kita beri tumpuan dalam hal ini.

"Ketua Polis Negara baru dilantik, salah satu tumpuannya ialah membanteras perjudian dan ikut laporannya 5,913 operasi di seluruh negara dilakukan (sejak mengetuai PDRM 4 September lalu)," katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Transformasi Nasional 2050 Kluster Keselamatan Bersama Belia di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya mengenai perjudian dalam talian dan isu 'sembilan dragon' yang dilaporkan mengawal perjudian tanpa lesen dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini seperti didakwa oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selain didakwa berpengaruh di dalam pihak penguat kuasa.

Dialog TN50 Kluster Keselamatan yang dihadiri lebih 2,000 belia dan menyaksikan 17 isu dibangkitkan kepada Ahmad Zahid, dikendalikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selaku moderator.

Mengulas lanjut isu itu, Ahmad Zahid berkata kegiatan perjudian dalam talian berpangkalan di Macau, Las Vegas dan sebuah negara di rantau Asia.

Katanya, itu menyebabkan kenapa pihak polis perlu bekerjasama dengan Interpol untuk menangani kegiatan berkenaan.

"Ia mengancam institusi keluarga (hingga) runtuh, pengaliran wang keluar dan keberhutangan jika tak dapat bayar. Ini aspek jenayah yang kita hadapi," katanya.

Ahmad Zahid berkata seramai 416 penjenayah yang terbabit dengan perjudian Macau dihantar pulang ke China dengan kerjasama MPS (Ministry of Public Security China) dengan 100 lagi masih ditahan untuk siasatan.

menjawab soalan, Ahmad Zahid berkata negeri Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan paling banyak kes judi.

Bagaimanapun, ada negeri yang bebas daripada kegiatan perjudian tanpa lesen seperti Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Terdahulu ketika sesi dialog TN50, Ahmad Zahid menegaskan pihak bersikap "talam dua muka" tidak akan mempunyai tempat di dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) seperti dinyatakan Ketua Polis Negara sebelum ini.

Katanya, kerajaan kini menumpukan usaha kepada aspek mencegah dalam setiap pendekatannya bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan