Malaysia Fokus Tangani Keganasan

Kuala Lumpur - Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-11 mengambil langkah bersejarah dengan mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan pengganas di rantau Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini dalam lawatan kerja empat hari ke Clark, Pampangan, Filipina berkata, serangan yang berlaku di rantau Asia Tenggara termasuk serangan oleh Kumpulan Maute di Bandar Marawi, Filipina turut mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.

Hishammuddin berkata, sebelum ini Malaysia sudah mengambil pendekatan yang fokus dan strategik dengan mengadakan perjumpaan khas dengan tujuan utama iaitu menangani ekstremism keganasan, radikalisasi dan keganasan.

"Pada ADMM kali ini, Malaysia turut membincangkan isu kemanusiaan terutamanya membabitkan pelarian Rohingya.

"Kita berkongsi fokus utama, iaitu menangani kebangkitan pengganas ektremis secara global, iaitu Daesh. Krisis kemanusiaan Rohingnya yang berlaku di Bangladesh ialah sasaran kumpulan penganas untuk menyebarkan pengaruhnya dalam komuniti itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ADMM ialah platform tahunan menteri-menteri pertahanan ASEAN untuk membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau kepentingan bersama.

Hishammuddin turut memberi peringatan tentang hasrat kumpulan pengganas Daesh berhubung imigran.

"Kita jangan sekali-kali beri talian hayat kepada Daesh merekrut pengganas baharu memandangkan kumpulan itu mungkin sedang berkira-kira untuk memperlengkap pelarian dan populasi imigran lain dengan senjata," katanya.

ADMM ke-11 dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Negrillo Lorenzana.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan