Bekas Tahanan ISA Kecam Dr Mahathir

Kuala Lumpur - 'Taubat' Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyertai pakatan pembangkang disifatkan sekadar sandiwara, selain tidak menghapuskan kesalahan lampaunya selama 22 tahun.

Selain terpalit dengan skandal kewangan dan amalan kronisme menerusi kepemimpinan 'kuku besi', bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai 'hutang' dengan 106 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diberkas ketika zaman pemerintahannya.

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong, yang ditahan dua kali menerusi ISA, iaitu pada 1987 dan 1996, berkata keputusan Dr Mahathir beralih arah ke pakatan pembangkang adalah hanya bermotifkan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak pernah menyesali perbuatannya memanipulasi ISA dengan menahan 106 orang demi kepentingan peribadi dalam dunia politik.

"Sejak bersara, beliau asyik merapu saja setiap kali orang tanya mengenai Operasi Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Justeru, tiada istilah taubat dalam kamus Dr M (Tun Mahathir).

"Selepas 30 tahun, tiba-tiba beliau hanya tahu jawab 'eh, saya tak ingatlah apa yang terjadi'," katanya dalam nada berseloroh ketika menghadiri Forum Awam 'Sisi Cerita Saya' sempena tiga dekad Operasi Lalang, di sini, malam ini.

Forum anjuran SUARAM di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur itu turut dibarisi tiga pembahas lain yang juga bekas tahanan ISA, iaitu Dr Nasir Hashim; Irene Xavier dan Lim Chin Chin.

Kia Soong berkata, Dr Mahathir tidak layak menggunakan perkataan 'kleptokrasi' ketika berkempen untuk meraih undi kerana pengerusi pakatan pembangkang itu disifatkan 'kepala lanun' selama 22 tahun menerajui negara.

"Beliau sudah 'sapu licin' Malaysia sampai kering, kemudian sibuk menuduh orang lain sebagai pemimpin yang mengamalkan 'kleptokrasi'," katanya.

Sementara itu, Irene yang juga bekas tahanan ISA pada 1987 mendedahkan dirinya dipukul oleh pegawai penyiasat kerana didakwa menipu ketika memberikan pengakuan.

Beliau berkata, tindakan agresif itu dilakukan ketika berada di kem tahanan Kamunting kerana didakwa mempunyai kepercayaan komunis yang menebal.

"Sehingga kini saya dibelenggu kisah silam sepanjang berada dalam tahanan ISA, malah sukar untuk gambarkan apa yang dilalui selama 60 hari itu," katanya.

Hashim yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula berkata, penahanannya menerusi ISA adalah mangsa manipulasi politik yang didalangi Dr Mahathir.

Katanya, keadaan sel tahanan berasingan di kem Kamunting direka untuk menyeksa banduan, berbanding melaksanakan program pemuliharaan.

"Dalam sel tahanan tiada langsung lubang pengaliran udara sampai saya rasa sesak nafas. Itu betapa teruknya keadaan di sana (Kamunting)," katanya.

Chin Chin yang turut berkongsi kisahnya ketika menjadi tahanan ISA, berkata peluang untuk bertemu dengan keluarga hanya sekali, malah berlangsung untuk tempoh 10 minit.

Pertemuan itu, katanya, seolah-olah hanya peluang untuk mengucapkan 'hello' dan 'bye' kepada ahli keluarga yang datang menziarah, sebelum diarahkan kembali ke sel tahanan.

"Pada mulanya saya ditahan 60 hari sebelum Dr Mahathir lanjutkan tempohnya kepada tiga tahun. Semua 106 mangsa ISA ketika itu ibarat 'gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah'," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan