Mahathir Perlu Mohon Maaf Secara Terbuka

Kuala Lumpur - Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memohon maaf secara terbuka jika ikhlas bertanggungjawab terhadap penderaan ke atas tahanan Operasi Lalang, bukannya menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam peristiwa berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengakuan ikhlas itu juga seharusnya diterjemahkan menerusi sokongan terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukan mengambil tindakan sebaliknya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), berkata pembangkang pula sanggup mengguris hati pihak dizalimi dan berlakon di depan rakyat semata-mata mahu mempergunakan Dr Mahathir sebagai senjata untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN).

"Banyak lagi lakonan dan kepura-puraan Dr Mahathir akan timbul yang akan menjatuhkan imej pembangkang," katanya hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya mendakwa beliau sanggup dipersalahkan isu dakwaan penderaan dialami tahanan Operasi Lalang, walaupun menyifatkan ia bukan keputusannya.

Isnin lalu, Forum Awam 'Sisi Cerita Saya' sempena tiga dekad Operasi Lalang, anjuran Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menampilkan empat bekas tahanan ISA yang mendakwa mereka diseksa secara fizikal dan mental sepanjang berada di kem Kamunting.

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh PDRM dan Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu diterajui Dr Mahathir, susulan beberapa isu sensitif termasuk berkaitan pendidikan Cina serta pergolakan politik tanah air.

Sementara itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata Dr Mahathir tidak mampu membohongi rakyat mengenai pembabitannya dalam Operasi Lalang yang menyaksikan 106 individu ditahan kerana sejarah tidak mungkin dapat dipadamkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, apa juga kenyataan dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu dan pernah menerajui Kementerian Dalam Negeri ketika Operasi Lalang dilancarkan, rakyat mengetahui apa yang berlaku.

"Saya berharap rakyat bijak menilai apa juga kenyataan dari Dr Mahathir yang berdolak-dalik," katanya.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan Dr Mahathir yang mengaku bertanggungjawab terhadap penderaan tahanan ISA tetapi menyalahkan polis atas perlakuan itu ibarat melempar batu sembunyi tangan.

Beliau berkata, mustahil seorang Menteri Dalam Negeri tidak mengetahui bentuk siasatan dilakukan polis hingga tahanan diseksa seperti dakwaan pihak terbabit.

"Polis hanya akan bertindak menahan tahanan ISA dengan arahan menteri atau timbalannya. Surat arahan tahanan hanya ditandatangani oleh menteri dan timbalannya. Polis tidak akan bertindak tanpa persetujuan menteri atau timbalannya.

"Apakah orang yang menerima arahan lebih berkuasa dari orang yang mengeluarkan arahan? Di mana logiknya Dr Mahathir yang mengaku bertanggungjawab ke atas penderaan itu tetapi menyalahkan polis yang melakukannya?," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan