Jangan Pinggirkan, Curigai Kami

Kuala Lumpur - Veteran UMNO menggesa semua kepimpinan UMNO di semua peringkat, jangan mengenepikan kumpulan itu dalam setiap persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata dengan jumlah keahlian seramai 800,000 dari 3.4 juta ahli UMNO, veteran adalah 'fixed asset' kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, veteran UMNO bahagian di seluruh negara juga bersedia menawarkan diri untuk membantu UMNO bahagian bagi memastikan kemenangan BN.

"Jangan pinggirkan kami. Kami hanya mahu membantu. Kami tidak ada tujuan lain kecuali untuk memastikan kemenangan BN. Kami tidak berminat lagi untuk memegang jawatan dalam kepimpinan di semua peringkat.

"Kami bukan tandingan kepada sayap yang ada.

"Kami tidak akan menjadi ancaman kepada sesiapa pun. Oleh itu kami tidak seharusnya dicurigai. Tapi jangan pandang mudah terhadap kami. Jangan angkat borong kedudukan kami dalam UMNO.

"Ahli kami terdiri dari bekas menteri, timbalan menteri, kepimpinan bahagian yang berpengaruh dan masih mempunyai pengikut di cawangan dan bahagian, " katanya.

Beliau berkata, meminggirkan kumpulan itu bermakna UMNO mengundang kepada kekalahan dalam PRU14.

"Kami adalah pengundi saluran satu dan dua yang menjadi pengundi tegar BN. Kami adalah benteng yang dibakar tidak hangus dan dicincang tidak lumat.

"Meminggirkan kami bermakna UMNO mengundang kekalahan dalam PRU14. Kami bukan sendirian. Kami ada keluarga. Kami ada anak dan cucu yang menjadi pengundi," katanya dalam kenyataan.

Mustapha berkata, semua jawatankuasa vateran UMNO bahagian diseluruh negara bersedia untuk menawarkan diri bekerja bersama dengan jentera pilihan raya bahagian.

"Mereka mempunyai pengalaman dan jangan persiakan pengalaman itu. Sebaiknya semua bahagian UMNO memberi peruntukan khas kepada veteran bahagian membuka bilik gerakan sendiri khusus untuk menjaga pengundi ahli veteran.

"Mereka juga mampu untuk mendekati veteran yang bukan ahli seperti pesara guru, polis dan tentera," katanya.

Justeru, beliau berkata veteran akan meneruskan kempen Keluargaku Pengundi BN seperti dilancarkan pada PRU lalu, dengan sasaran empat juta pengundi mengundi BN.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan