Pembangkang Ditempelak Minta Peruntukan Banjir

Kuala Lumpur - Pembangkang ditempelak kerana tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 atau Bejet 2018 yang diluluskan untuk bacaan kali pertama semalam, namun hari ini mereka meminta peruntukan tambahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim, menegaskan tentangan pembangkang terhadap RUU Perbekalan 2018, menunjukkan mereka juga tidak menyokong usaha kerajaan membantu mangsa banjir.

"Saya berterima kasih kerana Yang Berhormat memohon peruntukan tambahan luar jangka, tapi kenapa Yang Berhormat tidak sokong bajet semalam. Bajet semalam sepatutnya disokong oleh pembangkang.

"Mereka bukan saja menentang tapi minta buat undian belah bahagi. Saya kesal sesungguhnya pembangkang menentang belanjawan semalam termasuk untuk membantu mangsa banjir," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tze Tzin bertanyakan sama ada Pulau Pinang boleh menerima bantuan luar jangka berjumlah RM2 bilion, seperti yang diterima Kelantan dan Terengganu pada 2015.

Shahidan menjelaskan, jumlah RM2 bilion itu tidak benar, sebaliknya kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencara Negara (NADMA) hanya terbabit dalam urusan membangunkan semula penempatan yang rosak teruk akibat banjir di negeri timur itu.

"Maklumat Kelantan dan Terengganu menerima RM2 bilion tidak benar. NADMA hanya terbabit dalam membaiki rumah semasa banjir yang membabitkan RM650,000 mangsa, iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

"Pembaikan rumah dibuat sebab rumah mangsa banjir semua rosak habis. Kita juga terbabit usaha pemindahan mangsa ke kawasan selamat. Semasa di pusat pemindahan kita juga jaga makan dan minum," katanya.

Mengulas banjir Pulau Pinang, Shahidan berkata, bantuan wang ihsan bencana kepada mangsa banjir hanya boleh diserahkan selepas NADMA menerima senarai nama mangsa daripada pihak berkuasa bencana negeri.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan