Perdana Menteri Tiba Di Kuching Untuk WIEF2017

Kuching - Datuk Seri Najib Razak tiba di Bandaraya Kuching malam ini, bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia 2017 (WIEF2017) yang bermula esok.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa Menteri Kabinet Sarawak lain.

Najib dijadualkan menyampaikan ucaptama WIEF2017, sekali gus merasmikan edisi ke-13 penganjuran forum ekonomi yang turut menyaksikan kehadiran ramai tokoh korporat terkemuka dunia.

Antara tumpuan ialah Pengasas Bersama Apple, Steve Wozniak, yang bakal berkongsi pengalaman berkaitan perkembangan ekonomi digital, selain kemajuan perdagangan berasakan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sepanjang tiga hari berada di Bandaraya Kuching, Najib turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Joko Widodo atau Jokowi dari Indonesia pada 22 November ini.

Kedua-dua pemimpin turut dijadual menghadiri Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia 2017 di sini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan