Hukuman Mati Mandatori Masih Perlu Dikekalkan

Kuala Lumpur - Hukuman mati mandatori masih perlu dikekalkan sebagai memberi gambaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengedar dadah sehingga menjadi ancaman negara dan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata semua pihak perlu melihat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini sebagai langkah proaktif kerajaan.

Langkah itu katanya, bagi memastikan keadilan sewajarnya diberi kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.

"Pindaan yang dicadangkan ini selari dengan 'principle of sentencing' yang mana mahkamah diberi ruang budi bicara untuk menjatuhkan hukuman, selain hukuman mati mandatori.

"Bagaimanapun, kuasa budi bicara mahkamah hanya tertakluk untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 kali sebatan selepas mahkamah mengambil kira beberapa keadaan tertentu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Azalina membentangkan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, selepas tamat sesi soal jawab lisan.

Pindaan itu termasuklah cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234 supaya mahkamah diberi lebih ruang bagi menggunakan budi bicaranya dalam menentukan hukuman bagi pesalah dadah.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan