Pengendali Perkhidmatan Awam Perlu Peka Keselamatan OKU

Putrajaya - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kesal kemalangan membabitkan orang kelainan upaya (OKU) ketika menggunakan pengangkutan awam masih berlaku.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata sebanyak 17 kes seumpama itu dilaporkan sejak 2014.

Mengulas kes seorang OKU yang terjatuh ke landasan di Stesen Monorel KL Sentral, baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius supaya tidak berulang di masa depan.

Beliau menegaskan, keselamatan OKU ketika menggunakan pengangkutan awam perlu diberi perhatian serius, termasuk melakukan penambahbaikan dan mengambil langkah pencegahan segera bagi mengelakkan tragedi berulang.

"Ciri keselamatan dan kehadiran kakitangan di setiap stesen kereta api dan tren perlu dipertingkatkan bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengguna OKU.

"Ini termasuk memperluaskan Latihan Kesaksamaan Kecacatan (DET) dan Latihan Khidmat Berkaitan Kecatatan (DRST) kepada semua petugas serta polis bantuan," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan OKU JKM, Patmanathan Nalasamy.

Pada 12 November lalu, seorang OKU penglihatan, Mohd Hanapiah Yeop Shaharudin, 49, terjatuh di landasan Stesen Monorel KL Sentral, menyebabkan mangsa sehingga kini terlantar di wad rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

JKM bekerjasama dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital KL bagi membantu mangsa, termasuk mendapatkan perkhidmatan dan peralatan sokongan jika diperlukan.

Rohani berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) untuk mengkaji tahap keselamatan di semua stesen, termasuk pengendali stesen, supaya perkara yang sama tidak berulang atau mungkin meragut nyawa pada masa hadapan.

Beliau, yang juga Pengerusi MKBOKU, berharap masyarakat dapat bekerjasama membantu golongan OKU bagi mengelakkan mereka terbabit dalam kemalangan khususnya ketika menggunakan perkhidmatan awam.

"Pada mesyuarat hari ini kita turut membincangkan perkara ini bagi memastikan ia ditangani segera supaya tidak berlaku kemalangan pada masa akan datang," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan