Ku Nan Nafi Perkecilkan UiTM

Kuala Lumpur - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menafikan memperkecilkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai tempat pelajar lemah pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mendakwa kenyataannya diputar belit dan disalah tafsir pihak tertentu lalu dijadikan modal politik pembangkang.

"Saya tidak sama sekali memperkecilkan UiTM sebagai tempat pelajar lembab. Sebaliknya, saya menyatakan ramai pelajar daripada keluarga miskin melanjutkan pengajian ke UiTM menjadi cendekiawan dan akhirnya mengubah ekonomi keluarga.

"UiTM adalah landasan untuk mengubah ekonomi Melayu dan meningkatkan pendidikan hingga ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).

"Ini semua adalah jasa UMNO dan kerajaan kepada rakyat," katanya dalam wawancara bersama BH dan New Straits Times (NST) di pejabatnya di sini, hari ini.

Beberapa portal melaporkan Tengku Adnan atau Ku Nan didakwa memperkecilkan UiTM kononnya sebagai tempat pelajar kurang cemerlang dalam pendidikan.

Beliau dikatakan menyebut isu itu ketika berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Tengku Adnan berkata, tuduhan pembangkang yang memutarbelitkan ucapannya tidak akan mempengaruhi generasi muda untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Saya yakin anak muda akan terus menyokong BN. Banyak program kita buat bersama generasi muda termasuk pendidikan, ekonomi dan kediaman mampu milik.

"Walaupun ucapan saya diputar belit pembangkang, ia tidak sesekali menggugat sokongan generasi muda kepada BN. Tak apalah, apa yang penting generasi muda hadir faham apa saya sampaikan," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan