Tiada Rancangan Bina Pusat Risikan

Kuala Lumpur - Kerajaan menafikan dakwaan menerima tawaran China membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor, yang dikatakan dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya tidak pernah membincangkan perkara itu dalam agenda kementerian termasuk sebarang bentuk forum.

"Perkara ini tiada dalam pengetahuan kementerian, malah tidak pernah dibincangkan dalam sebarang bentuk forum dan kementerian tidak berhasrat membina pusat sedemikian (Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu)," katanya dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PAN-Shah Alam) yang meminta kementerian menyatakan pendirian terhadap tawaran tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di Johor, yang dijangka turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu.

Ogos lalu, sebuah akhbar Singapura melaporkan dakwaan berlaku perbincangan antara sumber dari kedua-dua negara yang bakal memuktamadkan projek itu di Malaysia, bulan ini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan