Bersama Pertahan Kesucian Islam

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak menyeru umat Islam mempertahankan kesucian agama Islam serta keharmonian dan kesefahaman antara agama yang dibina sejak sekian lama di negara ini.

Perdana Menteri berkata, sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang utama kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Katanya, umat Islam perlu menjadikan insiden letupan bom di Masjid Ar-Raudhah, Sinai Utara di Mesir yang mengorbankan 235 nyawa, sebagai iktibar.

"Kita merakamkan ucapan takziah ke atas keluarga mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman tersebut.

"Kita juga akan terus menyuarakan sokongan terhadap nasib saudara Islam kita yang ditindas seperti di Palestin dan etnik Muslim di Rohingya.

"Marilah kita berdoa semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan keteguhan iman bagi saudara-saudara kita yang diuji dengan keperitan di mana sahaja mereka berada," katanya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1439H/2017M yang dimuat naik dalam blog rasminya, najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata, perpaduan dalam kalangan umat Islam perlu dihayati dan diterjemahkan sebagai kesatuan yang bermula dengan pembinaan asas dalam institusi kekeluargaan yang menyemai semangat patriotisme dalam diri, bertepatan dengan tema Maulidur Rasul tahun ini iaitu Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara.

"Kita sentiasa istiqamah dalam melakukan transformasi menuju sebuah negara Islam maju dan progresif menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berasaskan Maqasid Syariah serta berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Sementara itu, Najib turut mengajak umat Islam mencontohi akhlak, sifat dan kepimpinan Nabi Muhammad dalam pelbagai aspek kehidupan, serta mengenang perjuangannya dalam menyebarkan dakwah Islam.

Katanya, umat Islam pada hari ini mesti berpegang teguh dengan seluruh seruan dan akhlak Rasulullah SAW untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh daripada hidayah Allah SWT.

"Hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan para sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan islam pada hari ini.

"Semoga dengan sambutan Maulidur Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati Negaraku yang tercinta dalam mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan