'Baiah Cuma Batal Jika Hukum Allah Dilanggar'

Kuala Lumpur - PAS mengingatkan wakil rakyatnya supaya berpegang kepada baiah (ikrar setia) selagi pemimpin parti itu mematuhi hukum Allah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baiah bukan bertujuan mencari keredaan manusia termasuk yang tidak beriman atau semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

"Amalan baiah hanya terbatal jika ada pemimpin menentang hukum Allah, bukan disebabkan berbeza pendapat dan pendekatan.

"Kumpulan Islam mengikat diri dengan baiah apabila berasa tidak cukup sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jemaah dan tawaduk mengadap Allah bagi mencari keredaan.

"Sesiapa yang tidak menyempurnakan baiah, bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang sudah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi pahala besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, mengumumkan keluar PAS yang disertai sejak 1999 untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, amalan baiah dilakukan oleh sahabat Rasulullah, tabi'in (golongan yang hidup selepas Rasulullah) dan generasi yang menyambung perjuangan Islam.

Beliau berkata, ada pihak menyeleweng dengan menganggap baiah sekadar cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.

Katanya, PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihan raya walaupun parti itu bermatlamat melihat kemenangan di dunia sebelum meraih kejayaan akhirat.

"PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganuti atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganuti secara terbuka, bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didengar dan dilihat.

"Golongan awal yang menyertai PAS lebih yakin apabila melihat sendiri nasib golongan yang melanggar baiah dan sumpah menjadi calon.

"Mereka terbabit sudah menerima akibat di dunia, manakala akibat di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan