Bukan Terburu-Buru Mendamba Kemenangan

Kuala Lumpur - Cadangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan bukan langkah terburu-buru mendamba kemenangan.

Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia tidak bercanggah dengan pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu jentera dan ahli UMNO menumpukan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14.

Annuar berkata, cadangan yang disuarakan setiap pergerakan sayap UMNO, hari ini adalah kebebasan ahli setiap kali menghadiri perhimpunan agung.

"Soal kita sibuk fikir pemilihan parti berbanding PRU-14 tidak timbul dalam soal ini kerana apa yang disuarakan perwakilan adalah hak mereka.

"Perkara ini pun tidak pernah menjadi isu untuk dibincangkan," katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Cadangan supaya institusi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dikekalkan tanpa pertandingan pada mulanya disuarakan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perkara itu kemudian disahut pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung sayap berkenaan, hari ini.

Annuar berkata, mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu hanya membincangkan perihal pentadbiran parti, selain meneliti laporan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO Ke-71.

Mesyuarat itu yang bermula kira-kira jam 8.40 malam dipengerusikan Najib yang juga Presiden UMNO.

Turut hadir Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Hadir sama Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta anggota-anggota MT UMNO.

Najib akan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok serta menyampaikan Ucapan Dasar Presiden kepada 5,739 anggota perwakilan dari seluruh negara.

Perhimpunan tahunan parti yang bermula semalam akan berakhir Sabtu ini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan