NGO Islam Perak Kecam Amerika Syarikat

Ipoh - Enam gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan beberapa parti politik di seluruh negeri ini berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II di sini, bagi menyuarakan bantahan bagi isu Baitulmaqdis yang diiktiraf sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS).

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu bertujuan mengutuk tindakan melampau puak zionis tanpa henti terhadap umat Islam.

Antara NGO yang terbabit adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA).

Timbalan Presiden MAPIM, Zulkifly Ibrahim berkata, isu itu menjadi penanda aras supaya umat Islam tidak boleh lena dan terus ditindas zionis.

"Bukan hanya rakyat Palestin sahaja perlu berjuang tetapi seluruh umat Islam di dunia perlu bangkit menegakkan kebenaran.

"Tindakan Presiden AS Donald Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel membuka mata umat Islam untuk tidak lagi berdiam diri dari terus ditindas," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perhimpunan berkenaan yang diadakan selepas solat Jumaat di sini.

Zulkifly berkata, pihaknya turut berhubung bersama beberapa NGO di luar negara bagi membincangkan berhubung isu berkenaan supaya tindakan bantahan sewajarnya dapat diambil.

Katanya, pihaknya juga sudah menyerahkan memorandum ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan