Akur, Patuh Dasar Ditetapkan MAIS

Klang - Sultan Selangor menitahkan, setiap pegawai dan kakitangan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat dengan pihak berkuasa agama di negeri itu, akur kepada dasar yang ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kakitangan Kerajaan Persekutuan yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan yang sudah ditetapkan MAIS.

Baginda bertitah, pegawai dan kakitangan itu juga perlu memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda, selaku ketua agama Islam negeri walaupun menerima gaji serta elaun daripada Kerajaan Persekutuan.

"Perlu Beta tegaskan bahawa undang-undang sudah memperuntukkan bahawa segala yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Selangor adalah terletak sepenuhnya di bawah kuasa dan pertimbangan Beta.

"Justeru, segala dasar dan peraturan yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya," titah Baginda pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS sesi 2018-2020 dan Majlis Santapan Tengah hari bersama 423 imam masjid seluruh Selangor di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenaan melantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai pengerusi MAIS yang baharu berkuatkuasa 1 Januari ini.

Mohamed Khusrin akan menggantikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang sudah tamat perkhidmatan sebagai pengerusi MAIS selepas menyandang jawatan sejak 2005.

Baginda juga berkenan melantik tiga orang anggota MAIS yang baharu iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian.

Turut hadir memberikan sembah menghadap adalah anggota MAIS untuk sesi 2018-2020 iaitu Timbalan Pengerusi MAIS, Datuk Ramli Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya berfungsi sebagai agensi pusat yang akan menyelaraskan perkara berkaitan agama Islam antara negeri-negeri di Malaysia.

Bagaimanapun, titah Baginda, jika dasar berkaitan agama Islam seperti isu pensijilan halal, zakat, pemakaian fatwa, wakaf dan sebagainya yang ingin dilaksanakan di negeri berkenaan, ia perlu terlebih dahulu dirujuk kepada MAIS.

"MAIS adalah badan penasihat agama Islam kepada Beta, sebelum perkara ini diangkat kepada Beta untuk diluluskan dan dilaksanakan," titah baginda.

Pada majlis berkenaan, Sultan Selangor juga berkenan menerima wakaf berjumlah RM5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk pembinaan Masjid Denai Alam dan pemberian tanah wakaf seluas empat hektar dengan nilai semasa RM74 juta khas untuk pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan