Batal IMAMS Tepat

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata, pengumuman pembatalan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sebagai pemantau lesen khas umrah amat bertepatan.

Perdana Menteri turut tidak bersetuju sistem itu dilaksanakan bagi urusan umrah.

"Saya tidak setuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa umrah. Pengumuman ia dibatalkan adalah sangat tepat," katanya dalam entri akaun rasmi Twitter miliknya, hari ini.

Pembatalan IMAMS diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah.

Rashidi dilaporkan berkata, pembatalan dibuat berikutan maklum balas orang ramai dan pengendali pakej umrah berhubung sistem terbabit.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata MOTAC akan mengkaji semula mekanisme pemantauan dan kawalan pengendalian pakej umrah bagi menggantikan IMAMS.

"Kajian semula ini bertujuan mencari mekanisme lebih berkesan dan tidak membebankan rakyat. Niat kami hanya untuk membantu rakyat," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

IMAMS dilancarkan Mas Ermieyati pagi semalam, namun mendapat bantahan orang ramai dan pengendali umrah.

Keadaan diburukkan dengan sebaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang antara lain mengecam pelaksanaannya berdasarkan beberapa isu.

Antaranya dakwaan syarikat mengendalikan sistem itu mempunyai ketua pegawai operasi bukan Islam yang bertentangan dengan ketetapan pengendalian umrah hanya dikendalikan orang Islam menerusi LKU, kos mahal dan mengenakan GST kepada jemaah umrah.

Mas Ermieyati mengakui belum mendapat maklumat penuh berhubung pembabitan bukan Islam dalam IMAMS.

"Maklumat diberi mengatakan tiada bukan Islam dan saya tahu ini cukup sensitif," katanya sambil menambah ketua pegawai operasi bukan Islam terbabit sudah meletak jawatan.

Beliau berkata, IMAMS asalnya bertujuan menjaga kebajikan dan hak jemaah umrah menerusi permohonan visa dan insurans, selain bertujuan menangani masalah penjualan visa umrah yang membawa kepada berlakunya penipuan umrah.

"Saya tidak akan melepaskan sesiapa yang buat hal dan jual visa umrah selepas ini," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan