Dewan Negara Lulus 13 RUU

Kuala Lumpur - Dewan Negara yang ditangguhkan semalam, meluluskan 13 Rang Undang-Undang (RUU) selepas 10 hari bersidang, menjadikan 45 akta diluluskan pada Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Ke-13.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia membabitkan RUU Perbekalan 2018, RUU Kewangan 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017 dan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017.

Turut diluluskan, RUU Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017, RUU Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017, RUU Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan RUU Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017.

Selain itu, RUU Pusat Jagaan (Pindaan) 2017, RUU Industri Pelancongan (Pindaan) 2017, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan RUU Timbang Tara (Pindaan) 2017.

"RUU ini akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azalina berkata, perkara menjadi keutamaan adalah RUU Perbekalan 2018.

Selain itu, katanya, yang mendapat perhatian rakyat adalah RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan RUU Cukai Pelancongan 2017.

"Semua RUU yang digubal adalah bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

"Tindakan kerajaan meminda RUU Dadah Berbahaya Pindaan 2017 turut mendapat pujian delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia dan wakil negara anggota EU," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan