KDN Haram 21 Penerbitan

Putrajaya - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap 21 penerbitan kerana melanggar undang-undang mengikut Seksyen 7(1), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata penerbitan itu dikenakan perintah larangan melalui Warta Kerajaan bertarikh 19 Disember kerana ada kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kemoralan dan kepentingan awam.

"Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alwi berkata, secara keseluruhannya, kesemua penerbitan berkenaan dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutama generasi muda kerana tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

Individu yang didapati melanggar perintah itu boleh dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan mengikut Seksyen 8 (2) akta berkenaan.

Sebarang aduan berkaitan penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

Berikut antara senarai penerbitan yang dikenakan perintah larangan.

* Assamualaikum: May Peace Be Upon You Observations On The Islamisation Of Malaysia - Mempromosi idea sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Isi kandungan turut mengkritis institusi agama, mempertikai keputusan mahkamah, perlembagaan dan undang-undang, dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

* Qun Jiao Wang Shi, 36F Da Bo Mei De You Huo dan Guo Nan Nv No2 - Mengandungi kompilasi cerita seks dan porno yang keterlaluan serta turut memuatkan gambar model seksi dengan pakaian separuh bogel.

* Antithesis - Mempromosi ajaran syiah dan idea liberalisme. Fakta agama dikupas dengan menggunakan logik akal dan dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

* Loaded (No Keluaran 242) - Memuatkan gambar wanita dan lelaki dalam keadaan bogel serta separuh bogel, dikhuatiri mengundang kemudaratan dari aspek moral.

* 100 Keajaiban Di Dunia, Amalan Mustajab Dan Murah Rezeki, Senjata & Pendinding Mukmin, Asma Ul-Husna: Rahsia Dan Amalan 99 Nama Allah, Rahsia dan Kelebihan Kayu Kokka: Jenis Kayu Bahtera Nabi Nuh AS - Tongkat Nabi Musa AS - Mengandungi fakta mengelirukan dan bersifat khurafat, turut mengandungi unsur tahyul dan azimat serta bertentangan dengan ajaran Islam dan dikhuatiri boleh memesongkan akidah umat Islam.

* Perjalanan Yang Cemerlang 1930-1980 - Mempromosi fahaman komunisme, turut mengandungi unsur provokasi dan propaganda komunis.

* It's All About Muhammad: A Biography Of The World's Most Notorious Prophet - Mengandungi fakta tidak benar dan ilustrasi yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, turut memuatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

* Intense Pleasure - Novel cinta erotik dan penceritaan mengandungi adegan hubungan seks secara terperinci, dikhuatiri mengundang kemudaratan dari aspek moral.

* Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Hampir Tidak Kesampaian Berakhir Tiada Kesudahan, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Jangan Sampai Terlihat Adanya Diri dan Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Pencarian Ilmu Di penghujung Rasa - Mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan akidah Islam yang mungkin boleh membawa kepada kekufuran, turut mengandungi fahaman yang bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

* Agama Masa Depan: Perspektif Filsafat Perennial - Mempromosi idea sekularisme, liberalisme dan pluralisme, turut menghina Nabi dan menolak autoriti agama, selain menyamakan Islam dengan agama lain.

* 25 Kisah Mukjizat Rasulullah dan Meneladani Rasulullah & Cerita Lain - Memaparkan ilustrasi wajah para nabi dan sahabat yang empat, jelas bertentangan dengan Garis Panduan Penerbitan KDN.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan