Dua Jari Qobin Masih Kebas Tetapi Puas Hati

Sepang - Penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, selamat tiba di tanah air malam tadi selepas berjaya menamatkan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km).

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat EK 342 Emirates dari Dubai pada jam 10 malam, disambut dengan paluan kompang serta dipakaikan​ tanjak berwarna biru.

Ketibaannya disambut Pengerusi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) merangkap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles; Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik; wakil media dan kira-kira 100 ahli Pemuda UMNO Lembah Pantai.

Qobin berkata beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan misi itu dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak , keluarga dan rakyat Malaysia yang menjadi pencetus serta menyokong misi itu.

Katanya, dua jari tangan kiri yang terjejas akibat cuaca sejuk melampau hingga negatif 26 darjah Celsius masih kebas dan dijangka pulih dalam masa sebulan.

"Saya akan terus menyumbang untuk negara dan membantu lebih ramai golongan muda mengharumkan negara pada peringkat dunia," katanya kepada media.

Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 melalui KE7B bermula pada 19 Disember tahun lalu dan selesai pada 27 Disember lalu.

Dengan kejayaan itu, Qobin diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia, selain 70 manusia dan penjelajah terawal yang mendapat pengiktirafan itu.

Pada 27 Disember lalu, Qobin tiba di titik berkenaan pada jam 4.05 petang waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) bersama-sama enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.

Sementara itu, Akmar Hisham berkata beliau berbangga atas kejayaan Qabin yang mengharumkan nama negara serta merancang lebih banyak ekspediasi untuk disertai golongan muda di masa hadapan.

Katanya, pada Ogos ini pihaknya dengan kerjasama Muzium Negara akan mengadakan pameran kejayaan yang dicapai KE7B bagi memberi motivasi kepada masyarakat di negara ini.

Ekoran kejayaan itu, Qobin kini menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam iaitu individu yang berjaya mendaki tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia termasuk Gunung Everest, berski di Kutub Utara dan berski di Kutub Selatan.

Setakat hari ini, hanya 70 orang dari seluruh dunia berjaya menamatkan ketiga-tiga ekspedisi terbabit.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan