'BN Bukan Kerajaan Fantasi'

Kota Merudu - Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan 'kerajaan fantasi' yang hanya menabur janji untuk mengejar populariti namun akhirnya tidak mampu ditepati, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan pimpinannya mempunyai wawasan melangkaui kepentingan politik untuk menyediakan generasi hari ini dengan keperluan supaya negara dapat menangani cabaran pada masa depan.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita jangan main politik populis semata-mata tetapi tiada wawasan dan gagal merancang untuk masa depan supaya negara berjaya dalam persekitaran yang semakin kompetetif.

"BN adalah kerajaan bertanggungjawab dan bila janji kita pastikan ia ditepati. Kita tak janji berdasarkan fantasi yang tak mungkin dapat dilaksanakan, kita tak tipu rakyat atau buyuk (berbohong).

"Kita tidak seperti pembangkang yang suka membohong atau sembunyikan perkara sebenar kepada rakyat, mungkin tak dapat sokongan atau tak popular, mereka janji sesuatu yang rakyat suka dengar tetapi tak realistik," katanya ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Najib berkata, antara bukti negara berada di landasan betul ialah kejayaan mencapai kadar pertumbuhan 6.2 peratus pada suku ketiga tahun lalu, ketika banyak negara tidak mampu melakukannya.

Serentak itu, Perdana Menteri berkata, pembohongan pembangkang yang menjaja cerita kononnya kerajaan sedia ada bankrap, tidak dapat diterima sama sekali.

"Kita tak boleh membina negara dan peradaban berdasarkan politik kebencian yang mahu meracuni fikiran rakyat. Kerajaan sedia ada mahu rakyat berpemikiran progresif yang membawa kita ke hadapan sebagai negara maju.

"Kalau Malaysia negara bankrap tak mungkin kita dapat sediakan RM3.1 bilion untuk sekolah di Sabah (projek baharu dan sambungan 142 sekolah). Saya juga tak mungkin boleh lulus peruntukan di mana-mana saya pergi, adakah ini gambaran negara bankrap?

"Orang berkenaan jadi Perdana Menteri 22 tahun apa dia buat (untuk Sabah)... sekarang tersipu-sipu minta maaf kata ada buat silap dulu, tapi tak beritahu sebab apa, itu tak ikhlas," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerjasama erat dan hubungan baik antara kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa dengan kerajaan Pusat membolehkan Sabah terus dibangunkan melalui peruntukan besar demi manfaat rakyat Sabah.

"Komitmen saya ialah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, sebab itu kita buat Lebuh Raya Pan Borneo dengan peruntukan RM13 bilion bagi fasa pertama, ini hadiah pada orang Sabah," katanya.

Sementara itu, beliau yakin Parlimen Kota Marudu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek kekal milik BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain berharap DUN Matunggong dapat ditawan semula.

Di akhir ucapannya, Najib mengumumkan peruntukan RM35 juta bagi pembinaan SMK Marak Parak di sini selain RM5 juta bagi membina asrama SMK Tandek serta RM1 juta untuk menaik taraf kemudahan di SMK Bandau.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan