Undang-Undang Berita Palsu Bukan Kerana PRU

Johor bahru - Langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi membendung penyebaran berita palsu bukan kerana menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata sebaliknya ia sudah dirancang dan dibincangkan lama bagi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

Beliau berkata pengubalan undang-undang berkenaan amat tepat pada masanya berikutan peningkatan aduan berita palsu yang direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said juga akan membentangkan beberapa perincian undang-undang berkenaan kepada Kabinet minggu depan.

"Kerajaan mahu menggubal undang-undang berita palsu bukan kerana PRU-14, tidak sama sekali, tiada kaitan langsung.

"Memang dari dulu lagi kita sudah merancangnya. Memang kita ada undang-undang sedia ada menerusi Akta Multimedia dan Akta Hasutan tetapi apabila berita palsu tersebar sehingga menjejaskan keselamatan negara, adalah penting untuk kita ada undang-undang yang lebih khusus.

"Kementerian akan bekerjasama dengan Azalina dalam memperincikan undang-undang ini namun kita akan lebih memberi tumpuan kepada kebebasan Internet kerana kebebasan tanpa batasan hanya akan menghancurkan negara.

"Bukan Malaysia sahaja yang sedang merangka undang-undang berita palsu yang mengancam kestabilan negara malah banyak negara termasuk United Kingdom, Jerman dan Filipina sudah mempunyai undang-undang sama," katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini. (SABTU)

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib.

Salleh mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan kerajaan menggubal undang-undang berita palsu adalah disebabkan PRU-14 sekali gus bagi mengekang kebebasan bersuara pembangkang.

Selasa lalu, Azalina mengumumkan penubuhan satu jawatan kuasa khas mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Malaysia sehingga hari ini hanya mengguna pakai Seksen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu bagi mengekang fitnah selain undang-undang sivil berkaitan fitnah.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan