Ikut Peraturan Dan Pekeliling Sedia Ada

Padang Terap - Setiap keputusan dibuat kumpulan pentadbir di sekolah perlulah selaras dengan peraturan dan pekeliling sedia ada yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata walaupun pentadbir diberi kebebasan untuk membuat keputusan di sekolah, tindakan itu tetap tertakluk kepada garis panduan termasuklah tidak menyentuh soal sentisitiviti masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata demikian mengulas isu yang timbul di sebuah sekolah rendah di Selangor yang mengasingkan bekas minuman murid Islam dan bukan Islam yang dikatakan melanggar sensitiviti perkauman.

Isu itu turut mendapat reaksi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang menyifatkan tindakan itu sebagai berunsur perkauman di samping mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.

Mengulas lanjut, katanya golongan pentadbir perlu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan di sekolah dengan setiap tindakan perlu diperhalusi secara murni.

"Di peringkat kementerian kita ada peraturan dan pekeliling yang mana untuk semua sekolah, kita tak boleh buat lebih daripada apa yang digariskan itu.

"Dalam keadaan negara kita yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan masyarakat yang majmuk, soal sensitiviti perlu dijaga...kalau buat sesuatu yang tak ada pemurnian dalam keputusan, maka akan ada masalah...tindakan luar kotak dibolehkan, tetapi perlu ada pemurnian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap, di sini.

Ditanya mengenai tindakan pihak sekolah terbabit, Mahdzir menegaskan adalah tidak tepat untuk membuat sesuatu yang melangkaui batas sedia ada.

"Sebagai pentadbir di skeolah, kita tak boleh buat peraturan sendiri...contohnya kita nak buat semua dalam satu kelas itu satu agama...perkara seperti ini kita kena rujuk dan dapat pertimbangan sewajarnya," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya sudah menerima laporan mengenai kes itu daripada pihak sekolah, beliau berkata ia tidak perlu sampai ke peringkat kementerian, kerana cukup setakat dikendalikan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Post Metro Online

Artikel Berkaitan