'PAS Amal Politik Matang, Tak Serang Semberono'

Machang - Datuk Seri Najib Razak menganggap PAS mengamalkan politik matang yang konstruktif dalam hal membabitkan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri berkata, walaupun UMNO dan PAS berbeza pendapat tetapi parti itu tidak menyerang semberono kerana mengamalkan prinsip tabbayun.

"Konsep tabbayun itu bermaksud menyelidik dahulu sesuatu berita dengan teliti sebelum membuat keputusan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri hadir di Majlis PM Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Najib berkata, dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PAS memahami dan berpuas hati selepas penjelasan dibuat.

"Selepas mendengar penjelasan, barulah PAS membuat kesimpulan dan mahu memberi peluang pada 1MDB untuk melakukan pelan rasionalisasi," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) boleh menang dalam Pilihan Raya Umum jika ahlinya mengamalkan tiga prinsip iaitu mempunyai roh perjuangan; kepemimpinan satu saf dan sifat wala (setia) kepemimpinan.

"Insya-Allah, jika kita mengamalkan tiga prinsip ini, PRU14 ini milik kita," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan