Lebih 10,000 Sertai Doa Untuk Malaysia

Putrajaya - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyertai lebih 10,000 umat Islam pelbagai peringkat umur mendoakan kesejahteraan negara di majlis 'Doa Untuk Malaysia' di Dataran Putra di sini, malam ini.

Program tahun keempat berkonsepkan keagamaan yang berlangsung lebih empat jam bermula 7.30 malam itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 yang membawa tema Negaraku Sehati Sejiwa.

Program itu adalah kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Acara dimulai dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak dan solat hajat yang diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat, sebelum diakhiri bacaan selawat dipimpin pendakwah antarabangsa dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf.

Kemuncak acara adalah bacaan doa yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Antara tujuan penganjuran program adalah bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan nilai keagamaan melalui pengisian program berteraskan Islam, selain mampu menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat serta melahirkan rakyat yang cintakan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, ia juga dilaksanakan bagi mendoakan agar Malaysia kekal stabil, maju, aman makmur serta sejahtera.

Program berkenaan juga bertujuan menyatupadukan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik untuk sama-sama memohon doa kesejahteraan dan keamanan negara daripada pelbagai tragedi.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan