Jangan Buang Masa Dengan DAP

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat Cina jangan membuang masa dengan menyokong DAP kerana parti itu tidak mempunyai wakil dalam kerajaan yang boleh mengubah nasib mereka.

Perdana Menteri berkata, untuk memastikan kerajaan mendengar suara orang Cina, sokongan perlu diberikan kepada wakil kerajaan dengan mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

"Realitinya sekarang dengan kemenangan yang besar DAP (di Parlimen), parti itu masih tidak dapat menubuhkan kerajaan," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahun MCA Ke-64 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri Dr Subramaniam dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor .

Najib berkata, pilihan terletak di tangan pengundi sendiri sama mahu wakil mereka kuat dalam kerajaan atau sebaliknya.

Katanya, ketika ini walaupun dengan kemenangan tujuh kerusi, kerajaan masih menimbangkan untuk memberi tiga jawatan menteri kepada MCA.

"Ini kerana kerajaan mengambil berat suara dan keperluan komuniti Cina. Sepatutnya mana boleh dapat tiga menteri, sepatutnya satu kerusi saja.

"Justeru, untuk pilihan raya akan datang saya mahu MCA menang sekurang-kurangnya 15 kerusi jika masyarakat Cina mahu wakil mereka yang lebih ramai dalam kerajaan," katanya.

Ketika ini, katanya masyarakat Cina menuntut banyak perkara termasuk penambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SKJC).

"Orang Cina minta macam-macam, nak itu, nak ini, tapi undi tak mahu bagi BN.

"Ini mana masuk akal, ada orang merungut kata UMNO dapat macam-macam. UMNO menang malah tambah lagi kerusi jadi saya bagi lebih. Kalau hendak lebih maka bagi undi kepada BN," katanya.

Najib berkata, justeru, orang Cina dinasihatkan jangan buang masa dengan parti pembangkang itu seperti pemimpinnya, Lim Kit Siang yang hipokrit.

"Dulu kata Tun Dr Mahathir Mohamad diktator kini mereka bekerjasama dengan pemimpin yang pernah memenjarakan mereka itu.

"Kalau hari ini Dr Mahathir peluk (kerjasama) Kit Siang, satu hari nanti mungkin dah tak peluk, sebab dia ni selalu buat U-turn (pusingan U).

Post Metro Online

Artikel Berkaitan