Jangan Malu Alah

Shah Alam - Jentera penerangan UMNO tidak boleh bersikap malu alah dan bersikap bertahan untuk menceritakan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebaliknya jentera parti perlu bersikap proaktif dan agresif.

Katanya, jika cerita pencapaian Najib itu tidak dibawa oleh jentera parti, UMNO akan tenggelam dalam perang persepsi dan gambaran palsu yang cuba dibina oleh pembangkang.

"Kita merasakan pencapaian Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dalam keadaan suasana yang tegang (hostile) dan walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang sangat mencabar, kita merasakan Perdana Menteri kita mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

"Cerita kejayaan ini mesti dibawa kerana ada pihak yang cuba menenggelamkan kisah kejayaan Perdana Menteri dan ingin digantikan dengan persepsi yang mereka cuba bina. Persepsi palsu yang mereka cuba bina, seolah-olah negara ini nak muflis.

Rakyat dalam negara kita tak boleh makan lagi dah kerana tekanan-tekanan. Dan seolah-olah kerajaan duduk tak buat apa walaupun kita tahu era Datuk Najib inilah ada bantuan secara langsung, subsidi.

"Saya mahu seluruh jentera penerangan proaktif dan kita mesti agresif tidak hanya mengambil sikap defensif, tetapi sebaliknya kita harus mengetengahkan segala cerita kejayaan. Dan, kita tidak seharusnya malu alah untuk menceritakan pencapaian dan kejayaan dicapai oleh Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All dengan Ahli UMNO Shah Alam, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin dan Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul.

Annuar berkata, ahli UMNO tidak seharusnya berasa rendah diri kerana kerajaan Malaysia antara kerajaan yang berjaya di rantau ini.

Pada masa beliau berkata, siri jelajah itu mendapat reaksi positif daripada rakyat terutama apabila ia disiarkan secara langsung, sesi itu ditonton beribu-ribu orang.

"Saya tidak mahu takbur tetapi saya boleh menyatakan setiap hari perubahan semakin positif dan program kita ini bukan hanya dengan khalayak di hadapan kita.

"Kita adakan ia secara langsung dan seluruh rakyat Malaysia boleh tengok. Ketika siri di Kuala Kedah, 40,000 yang menonton apa yang kita perbincangkan dan ketika di Permatang Pauh hampir 30,000," katanya.

Ditanya sama ada momentum itu boleh berterusan hingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Annuar berkata pihaknya sentiasa percaya kepada kebijaksanaan rakyat.

Katanya, rakyat juga tidak mudah lagi tertipu dengan berita palsu atau terbawa-bawa dengan politik persepsi dan kebencian.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan