ADUN BN Serah Memorandum Kepada Sultan Selangor

Shah Alam - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan penolakan usul tergempar oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina keturunan Bugis.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan kepada Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mat Nadzari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali berkata, usul tergempar mengenai isu yang memperlekehkan masyarakat Bugis itu penting berikutan ia membabitkan titah Sultan Selangor.

"Ia bukan perkara berkepentingan dan kami (ADUN BN) terpanggil untuk membawa usul itu namun berasa kesal kerana ia ditolak oleh DUN yang sepatutnya menjadi tempat terbaik untuk menyelesaikannya.

"Selain membantah penolakan usul itu, memorandum berkenaan sebagai menzahirkan sokongan padu kepada baginda Sultan Selangor sebagai ketua agama di negeri ini," katanya ketika di perkarangan istana itu.

Yang turut hadir, ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus; ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro; ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan dan ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Speaker DUN, Hannah Yeoh Tseow Suan sebelum ini menolak usul dikemukakan Datuk Abdul Shukur pada Sidang DUN yang sedang berlangsung dengan alasan isu berkenaan bukan perkara yang perlu disegerakan.

Sementara itu, Abdul Shukor meminta Kerajaan Selangor menghormati titah Sultan Selangor dan sewajarnya melarang Dr Mahathir daripada turut serta dalam sebarang aktiviti termasuk menghalang penggunaan premis milik Kerajaan Negeri.

Pada 3 November lalu, Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor murka dan kecewa dengan ucapan Dr Mahathir pada perhimpunan di Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.

Baginda menyifatkan petikan ucapan itu cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap keturunan Bugis, selain amat keterlaluan hingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.

Justeru, Majlis Dewan Diraja Selangor mahu siasatan dijalankan dan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 atau undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Mat Nadzari berkata, usul itu perlu dibahaskan bukan saja bertujuan memberi pemahaman atau penjelasan umum, namun turut ingin mengetahui pendirian Kerajaan Selangor sama ada menyokong atau sebaliknya mengenai isu berkenaan.

"Ini bukan perkara main-main kerana membabitkan titah Sultan dan kita perlu menghormati pandangan baginda," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan