Jangan Jadikan Politik Satu Kerjaya

Kuala Lumpur - Anak muda yang memiliki kecenderungan terhadap dunia politik diingatkan tidak menjadikan bidang itu sebagai satu kerjaya.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menasihatkan kecenderungan memasuki politik sewajarnya bertumpu kepada usaha membantu orang ramai.

Katanya, politik juga bukan jalan singkat untuk budaya 'sakau menyakau' atau mengumpul kekayaan sendiri dengan mengambil hak orang lain, tanpa memikirkan tanggungjawab utama untuk mensejahterakan rakyat.

"Anak-anak yang mahu jadi ahli politik ini mesti ada 'passion' atau ada kesukaan. Kalau kamu mahu jadikan politik ini sebagai kerjaya, maka janganlah," katanya berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau juga berkata, ada segelintir pemimpin pembangkang di Selangor yang menjadikan politik sebagai ruang mengumpul kekayaan, yang dapat dilihat menerusi pemilikan kereta mewah dan rumah banglo, walaupun pada usia muda.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menyentuh Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan bermula 5 Disember depan, Tengku Adnan, berkata tumpuan himpunan umat Melayu terbesar itu pastinya terarah kepada persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, beliau begitu mengharapkan 25,000 cawangan UMNO yang ada di seluruh negara hadir pada perhimpunan itu bagi membangkitkan 'mood' dan solidariti kepada pucuk pimpinan, untuk sama membina kekuatan baharu bagi mendepani PRU.

Sementara itu, sempena Anugerah Nadi Negara 2017, yang juga penganjuran kali kelapan tahun ini, lima mahasiswa yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Awam (UA) dianugerahkan Dermasiswa Nadi Negara.

Dana bersifat 'one-off' ini diberikan sebagai bantuan untuk mereka menamatkan pengajian dan ia ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Minda.

Pada majlis sama, Tengku Adnan turut melancarkan logo rasmi Pertubuhan Alumni Nadi Negara, yang ditubuhkan bagi mengumpul alumni penerima Anugerah Nadi Negara yang sehingga kini berjumlah seramai 150 orang.

Selain itu, seramai 25 graduan terdiri daripada 20 graduan daripada UA, dua graduan universiti swasta, seorang graduan lepasan universiti luar negara menerima Anugerah Nadi Negara 2017, disampaikan oleh Idris.

Buat julung kali juga, anugerah ini turut diberikan kepada dua orang penerima dalam kalangan graduan orang kelainan upaya (OKU).

Post Metro Online

Artikel Berkaitan