Dewan Lulus Dua Pindaan

Kuala Lumpur - Pindaan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan itu mencerminkan komitmen untuk membuat perubahan selepas 34 tahun hukuman gantung mandatori terhadap pesalah Seksyen 39B akta berkenaan.

Katanya, pindaan itu juga dibuat kerana kerajaan ingin melihat sama ada kuasa budi bicara mahkamah mampu mengurangkan 'perang' dadah sama ada dalam atau di luar negara.

"Perang dadah semakin bertambah. Dari 1980-an, pesalah dikenakan hukuman mandatori berbanding sebelum itu, hukuman budi bicara hakim.

"Kerajaan melihat kepada proses pindaan pada tahun ini, sama ada budi bicara dengan syarat-syarat diwujud akan membantu dalam kes berat dan memberikan pilihan sama ada dikenakan hukuman penjara atau sebatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan yang dilakukan bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau sebatan terhadap pesalah.

Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasannya, Azalina berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 702,319 individu ditahan kerana mengedar dan memiliki dadah untuk tempoh Januari 2014 hingga Oktober tahun ini.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 21,371 ditangkap di bawah Seksyen 39B, dengan 13,036 kertas siasatan dibuka dan 10,878 kes dituduh di mahkamah.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila sebanyak 1,743 tangkapan membabitkan pelajar sekolah dan 1,953 tangkapan ialah penuntut institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2017.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan