Jangan Terperangkap Mainan Persepsi Pembangkang

Kuala Lumpur - UMNO Selangor perlu bijak menangkis persepsi negatif dilemparkan pembangkang kepada khalayak, menerusi 'mahkamah pendapat umum' jika mahu menawan semula negeri itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor dalam dua penggal lalu berlaku kerana terperangkap dengan isu dan permainan `mahkamah pendapat umum' pembangkang.

Sehubungan itu katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat Selangor perlu diperjelaskan mengenai jasa dan pembangunan dibawa UMNO dan BN, agar tidak ditenggelamkan isu negatif dibangkitkan pembangkang.

"Isu negatif dicampakkan kepada UMNO perlu diubah kepada jasa yang kita taburkan selama ini kepada rakyat Selangor agar mereka memilih BN dalam PRU-14," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang juga Pengerusi Konvensyen berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, berkata UMNO Selangor perlu bekerja keras dan bijaksana untuk merealisasikan matlamat menawan semula negeri itu dalam PRU-14.

Katanya, usaha mempertingkatkan keserasian dalam kepemimpinan UMNO Selangor dan memperkasakan jentera parti supaya bersedia sepenuhnya perlu dilaksanakan mulai sekarang.

"Kita perlu memenangi hati dan minda pengundi Selangor. Jangan biarkan mereka terus memberi sokongan kepada pembangkang," katanya.

Mengenai calon Menteri Besar Selangor jika BN menawan semula negeri itu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak perlu difikirkan kerana keutamaan sekarang adalah memenangi pilihan raya.

Katanya, jawatan itu hanya diputuskan selepas BN kembali memerintah Selangor dan ia bukan sesuatu yang terdesak untuk diumumkan.

"Noh tidak berminat menjadi Menteri Besar dan menumpukan kepada usaha memperkasa UMNO dan BN. Kita akan putuskan calon MB kemudian," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan