Khalid Ibrahim Sertai UMNO?

Kuala Lumpur - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, menghadiri Konvensyen UMNO Selangor yang berlangsung secara tertutup di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ahli Parlimen Bebas Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu hadir memakai kemeja batik berwarna coklat bercampur kuning dengan senyuman meleret terukir di wajahnya.

Khalid berjalan menuju ke Dewan Merdeka mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Naib Presiden UMNO Yang Menjalankan Tugas-tugas Timbalan Presiden.

Khalid turut duduk di atas pentas sebaris dengan kepemimpinan kanan UMNO Pusat dan Selangor.

Konvensyen dirasmikan oleh Ahmad Zahid.

Turut kelihatan seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang kembali semula UMNO daripada PKR, September lalu.

Konvensyen yang berlangsung secara tertutup itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ketua Sekretariat Tawan Selangor, Datuk Salamon Selamat.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan