Kerjasama Dengan UMNO Untuk Rakyat Selangor

Kuala Lumpur - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, menegaskan 'kemunculannya' di Konvensyen UMNO Selangor hari ini bukan untuk menyertai UMNO.

Sebaliknya, bekas 'orang kuat' PKR itu berkata, beliau hadir di konvensyen tertutup bersama kepemimpinan tertinggi UMNO sebagai sokongan terhadap parti itu untuk menawan semula Selangor.

Ahli Parlimen Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu berkata, beliau sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat, terutama di Selangor.

"Saya masih bergerak sebagai anggota Bebas. Ada baiknya gerak secara bebas kerana orang Selangor tidak khuatir. Tujuannya adalah menjayakan rakyat Selangor.

"Parti saya rakyat Selangor...saya sambut baik usaha ke arah perpaduan umat Islam daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya Selangor maju dan makmur dengan kesatuan ini. Saya yakin usaha ini lebih efektif," katanya pada sidang media selepas Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyertai semula UMNO daripada PKR pada September lalu.

Khalid berkata, beliau komited bekerja demi memenuhi hasrat ummah kerana berpendapat Selangor perlu berubah dengan parti yang boleh menerajui negari itu.

Katanya, beliau juga tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana lebih senang dan bebas berjuang seperti sekarang.

"Kalau sesiapa terajui sama ada UMNO, mereka dapat satu padukan ummah, OK bagi saya. Ini adalah politik matang. Politik untuk cari pemimpin yang boleh terajui negeri kita.

"Rakyat lebih pandai daripada itu, biar mereka sendiri pilih wakil," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan