5 Resolusi 'Tawan' Selangor

Kuala Lumpur - Konvensyen UMNO Selangor merumuskan lima resolusi dasar termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) wajib menang dalam pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata jentera parti di semua peringkat mesti bekerja keras dan melipat ganda usaha dalam tempoh kritikal beberapa bulan menjelang PRU-14.

Katanya, mereka perlu menguasai dan melaksanakan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan KPI Wajib Menang bagi memastikan gerak kerja secara berfokus, berdisiplin, sederap dan bersepadu mengikut keutamaan.

"Kesepaduan dan kesepakatan dalam kalangan ahli serta parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat adalah prasyarat utama kekuatan dan keberkesanan jentera parti dalam Misi Wajib Tawan Selangor PRU-14.

"Ia dapat dilaksanakan sekiranya jentera parti bergerak berfokus dan bersatu padu di bawah kepemimpinan pusat yang mantap dan berkesan," katanya selepas Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Konvensyen sehari yang dihadiri 1,100 perwakilan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut terkandung dalam resolusi itu adalah pendirian dan ketetapan jawatan Presiden serta Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, sebaliknya Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Presiden manakala Ahmad Zahid dilantik timbalan.

Noh berkata, UMNO Selangor turut menyokong sepenuhnya kepemimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

Resolusi UMNO Selangor

1. Menyokong sepenuhnya kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

2. Menyokong sepenuhnya Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan UMNO Selangor.

3. Najib kekal Presiden UMNO dan Ahmad Zahid dilantik timbalan pada pemilihan UMNO akan datang.

4. Kesepaduan dan kesepakatan ahli UMNO dan parti komponen BN.

5. Jentera parti semua peringkat perlu melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Wajib Menang.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan