'Calon Langsung BN' Mampu Selesai Perebutan Kerusi Antara Komponen

Kuala Lumpur - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) mengguna pakai kaedah 'calon langsung BN' bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah calon langsung terpakai di Sarawak yang antaranya memberi peluang kepada calon Parti Rakyat Bersatu (UPP), iaitu parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11, tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, adalah lebih baik penentuan kerusi dilakukan menerusi semangat kesepakatan antara parti komponen sebelum sebarang keputusan dibuat.

"BN secara konvensyen mesti sebulat suara (mencapai keputusan) kerana UPP tidak menjadi komponen parti...maka kaedah direct candidate (calon langsung) digunakan.

Lebih baik cari kesepakatan

"Saya tidak menolak kemungkinan kaedah sama diguna pakai (untuk Semenanjung), tapi lebih baik kita mengadakan kesepakatan bagi menentukan calon," katanya dalam temu bual khas bersama BH dan New Straits Times (NST) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang bermula Selasa ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas sama ada BN bersedia menggunakan kaedah calon langsung bagi menyelesaikan perebutan seperti berlaku bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).

Beliau yakin kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO, mampu menyelesaikan isu membabitkan parti komponen berkenaan.

Calon langsung merujuk kepada calon yang diberi keistimewaan mewakili BN, menggunakan lambang dacing, dan bukan lambang parti yang dianggotainya.

Di Sarawak, kaedah itu juga memberi kebebasan kepada calon yang menang memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN dijangka mengguna pakai formula sama seperti di PRN Sarawak dan di tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Kuala Kangsar dan Tanjung Dato dalam menamakan calon untuk PRU-14.

Beliau berkata, formula itu menyaksikan penerimaan pengundi terhadap calon BN lebih baik berbanding kaedah lama yang digunakan sebelum ini.

Katanya, bagi kawasan yang langsung tidak bermasalah atau dikategorikan sebagai 'putih melepak', pengumuman awal calon boleh dilakukan.

Bagi kawasan yang ada sedikit masalah, pengumuman calon perlu dibuat selepas masalah diselesaikan.

"Manakala kawasan yang sangat bermasalah, bukan disebabkan kawasan hitam tetapi kerana kawasan itu adalah winnable seat (kerusi boleh menang), maka pengumuman calon boleh dibuat di saat akhir apabila semua masalah diselesaikan.

"Saya tidak mencadangkan kita mengikut templat itu (PRN Sarawak dan tiga PRK), saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN," katanya.

Ahmad Zahid turut menggariskan tiga pendekatan dalam menghadapi PRU-14 yang dilihat sebagai 'ibu segala PRU'.

Belajar daripada pengalaman

Beliau berkata, belajar daripada pengalaman menghadapi PRU-12 dan PRU-13 yang menyaksikan BN hampir 'terduduk' akibat gagal mengurus persepsi kritikan, kecaman, dakwaan dan tuduhan, jentera BN khususnya tentera siber perlu lebih proaktif.

"Justeru kita harus menyusun seluruh hulubalang tentera siber untuk tidak lagi berada dalam zon selesa, kita mesti pada kedudukan upper hand (kelebihan mengawal/mendominasi keadaan) berbanding pihak lain yang mengasak dan kadang-kadang melakukan pembunuhan karakter dan sehingga menyentuh perkara below the belt (tidak adil) yang memberikan keseronokan kepada pembaca.

"Kita harus menjangkakan keadaan ini akan berlaku dan kesiapsiagaan hulubalang siber dalam jentera UMNO/BN bukan hanya sekadar membalasnya melalui kaedah fire fighting sebaliknya gunakan kaedah upper hand untuk menang.

"Keduanya, perpaduan mesti diperkukuh dan diperkasakan dan ketiga, jangan ada unsur sabotaj dalaman," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan