Kesetiaan Hhli Punca Dr Mahathir Gagal Jatuhkan Najib

Kuala Lumpur - Kesetiaan dalam kalangan kepemimpinan dan ahli UMNO adalah punca Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak sehingga saat ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu menjadi perbezaan bagi kepemimpinan Najib berbanding beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang berjaya digulingkan Dr Mahathir.

"Kenapa Dr Mahathir menyangkakan dia boleh menjatuhkan Najib, tetapi Presiden kita tetap tidak jatuh.

"Sedangkan, sebelum ini dia berjaya menjatuhkan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), Musa (Tun Musa Hitam), (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Pak Ghaffar (Tun Abdul Ghafar Baba) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

"Perbezaannya ialah Najib berkawan dengan kepemimpinan di bawah dan menjadi satu saf persahabatan dalam perjuangan yang sama," katanya ketika berucap pada Konvensyen Penerangan Dan Media 2.0: Istiqamah Dalam Perjuangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Othman Abdul dan Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Shahbudin Yahya.

Annuar mengakui pimpinan Najib tidak sempurna kerana beliau bukan seorang yang maksum, namun kepemimpinannya adalah lebih terbuka dan demokratik berbanding ketika zaman Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO.

"Zaman saya dalam kabinet dulu bersama Dr Mahathir, nak bertanding Presiden kena ada kuota pencalonan. Itu pun semasa berpecah dengan Semangat 46, separuh ahli sudah ditendang keluar dan tinggal kumpulan kita saja masa itu, pun masih dikawal begitu rupa.

"Apabila Najib jadi Presiden UMNO, tidak ada lagi kuota pencalonan. Malah, siapa nak bertanding, isi borang saja dan boleh bertanding. Pemimpin dan Presiden UMNO paling demokratik sepanjang ingatan saya adalah Najib," katanya.

Annuar berkata, ahli UMNO perlu diisi dengan penghayatan semangat dan roh perjuangan kerana Allah serta kepentingan bangsa dan tanah air tanpa mengutamakan mana-mana individu.

"Saya ini orang Dr Mahathir, jadi menteri zaman dia, diangkat oleh dia, saya setia pada dia. Tetapi, bila Dr Mahathir meninggalkan UMNO, saya tinggalkan dia demi perjuangan dan ketaatan pada parti.

"Saya dibawa dalam politik oleh Ku Li, saya dibenarkan oleh Ku Li menjadi jurucakap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 1981-1982, datang ke politik nasional kerana Ku Li, mula jadi calon kerana Ku Li.

"Tetapi apabila Ku Li tinggalkan UMNO untuk Semangat 46, saya tinggalkan Ku Li. Bukan kerana kurang sayang saya pada dia, tetapi kerana lebih sayang pada UMNO," katanya.

Terdahulu, Annuar mengingatkan ahli UMNO bahawa parti itu hakikatnya ditubuhkan kerana Allah dan meneruskan perjuangan mengangkat agama sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Ketika nak Merdeka, UMNO letakkan Perkara 3 dalam Perlembagaan negara dan selepas Merdeka, kita isi segala tuntutan terhadap umat Islam," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan