Salah Guna Media Sosial Semakin Meningkat

Kuala Lumpur - UMNO Bahagian Lembah Pantai dinobat johan Pertandingan Infografik dan Videografik yang dilancarkan sejak 5 November lalu.

Pergerakan itu membawa pulang sebuah komputer riba, wang tunai RM2,500, sijil dan piala yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan barisan kepemimpinan tertinggi parti.

Naib johan disandang UMNO Bahagian Kota Kinabalu yang menerima wang tunai RM2,000, sijil dan piala.

Hadiah tempat ketiga, iaitu wang tunai RM1,000, sijil dan piala pula dimenangi UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Sementara itu, johan Pertandingan Jumlah Ahli Jawatankuasa (AJK) dan WhatsApp Biro Teknologi Maklumat (IT) Bahagian Teramai dimenangi oleh UMNO Pengkalan Chepa.

Kemenangan itu diraih susulan kejayaan pergerakan berkenaan merekod 722 ahli WhatsApp Biro IT yang terdiri daripada tiga kumpulan berbeza.

Mereka membawa pulang komputer riba, wang tunai RM2,500, sijil dan piala.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata aduan penyalahgunaan media sosial semakin meningkat dalam tempoh lima tahun, mulai 2013 lalu.

Katanya, laporan yang diterima dalam tempoh setahun, iaitu antara 2013 dan 2014 menunjukkan peningkatan 347 kes atau 15.9 peratus.

"Penyalahgunaan media sosial pada 2015 pula meningkat kepada 2,613 kes, berbanding 2,536 kes yang dicatatkan pada 2014.

"Peningkatan mendadak kepada 4,808 kes berlaku pada 2016, iaitu lonjakan 84 peratus, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya pada ucaptama prapelancaran majlis itu.

Ahmad berkata, perbuatan menabur fitnah mengundang pelbagai kesan buruk, termasuk mencetuskan aib sehingga mencalarkan imej individu berkaitan.

"Fitnah menyebabkan tekanan emosi dan masalah psikologi angkara stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadap mereka yang terbabit.

"Lebih buruk ia merosakkan persaudaraan dan perpaduan sehingga mengundang permusuhan, sekali gus melenyapkan rasa hormat dalam kalangan masyarakat.

"Impak lain merangkumi kerencatan ekonomi yang berupaya menggugat keselamatan negara," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan