Mantan Pemuda UMNO Aset Penting Parti

 

Kuala Lumpur - Mantan Pemuda UMNO adalah aset penting kepada parti kerana sumbangan dan peranan mereka sememangnya amat besar bagi memastikan parti itu terus relevan hingga kini, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata bagi mengekalkan kelangsungan parti, mantan Pemuda UMNO diminta mengetepikan sifat 'assabiah' dan semangat 'kabilah' serta bersama-sama mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang ada kepada pemimpin muda.

"Biarpun ada tembok mahupun kubu menghalang tapi apabila bertekad, kita wajib tentukan kemenangan," katanya ketika merasmikan Perjumpaan Mantan Pemuda di sini, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta perjumpaan seperti itu diperluaskan kepada mantan kepimpinan Pemuda dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan turut memberikan semangat kekitaan dalam diri anggota komponen BN.

Hishammuddin dalam ucapan ringkasnya menyeru bekas-bekas Pemuda mencurahkan pengalaman kepada orang muda selain merapatkan saf dengan membantu calon-calon BN beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis berbentuk santai yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama rakan seperjuangan semasa bergiat dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Perjumpaan Mantan Pemuda itu adalah edisi ke-4 yang mana kali pertama program itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 berlangsung bermula 5 Disember hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan 5,739 perwakilan menghadiri perhimpunan itu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan