Pilih BN Untuk Masa Depan Generasi Muda

Kuala Lumpur - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengajak rakyat Malaysia membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, hanya ada dua pilihan yang hendak dibuat sama ada memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Pembangkang.

"Buatlah pilihan yang tepat untuk kita pilih kerajaan yang mampu mentadbir negara ini untuk masa depan lebih baik bagi generasi muda akan datang. Wahai rakyat Malaysia, hakikatnya PRU-14 adalah raja kepada segala PRU! Saya nak ajak semua rakyat Malaysia di luar sana bersama ahli UMNO, Wanita UMNO.. sama-samalah kita bangun mempertahankan Malaysia.

"Negara ini kita yang punya. Berdekad lamanya BN menang untuk Melayu dan Bumiputera.

"Kita berjuang untuk semua bangsa Cina, India dan pelbagai bangsa serta suku kaum di Sabah dan Sarawak. BN menang untuk semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Tun Dr Ismail di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, Wanita UMNO yang benar cintakan negara dan mahu membina negara bangsa, perlu menyebarkan kepada saudara mara, ahli keluarga dan jiran tetangga supaya memilih BN.

"Hanya BN yang mampu teruskan agenda semua bangsa," katanya.

Beliau berkata, satu lagi pilihan adalah Pakatan Pembangkang yang sebenarnya dipimpin oleh pemimpin cauvinis DAP, Lim Kit Siang, yang harapannya sering berubah-ubah.

Malah, katanya, DAP tidak boleh diharapkan.

Shahrizat turut memuji kesetiaan Wanita UMNO yang teguh berdiri di belakang beliau serta memberi semangat kepadanya ketika susah.

"Saya berterima kasih kepada semua yang menyebabkan saya nekad mengabdikan diri kepada parti," katanya.

Shahrizat juga menegaskan bahawa beliau bukan seperti pemimpin terdahulu yang tidak senang melihat muka baharu yang berkaliber berada dalam parti.

"Saya bukan seperti mereka, kejayaan saya apabila melihat ramai wanita berjaya di bawah kepemimpinan saya. Saya mahu meninggalkan legasi sebagai pemimpin yang mencipta banyak ruang dan peluang serta perjuangkan wanita di negara ini, " katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan