Jangan Terlalu Kejar Jadi Calon

Kuala Lumpur - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegur kegelojohan segelintir ahli Pemuda UMNO yang dilihat terlalu mengejar untuk menjadi calon pilihan raya.

Beliau berkata, soal menjadi calon atau tidak adalah perkara kedua kerana apa yang lebih utama adalah kerjasama ke arah menguatkan jentera parti bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Jangan kisahkan sangat mengenai mahu jadi calon (pilihan raya), ini sudah tertulis dalam perut ibu kita. Sama juga saya tidak pernah terfikir untuk menjadi calon, namun ia sudah tertulis.

"Saya tahu memang ada sesetengah (pemimpin) sudah tidak layak (pegang jawatan), bagaimanapun apa yang penting sekarang ini ialah memenangkan parti kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai wakil MT ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2017 di sini, hari ini.

Dua lagi wakil MT yang hadir ialah, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, turut mengingatkan ahli Pemuda UMNO supaya tidak merosakkan sentimen orang Melayu yang sudah kembali menyokong parti itu.

"Negeri Sembilan sebagai contoh, saya yakin boleh menang dengan lebih besar kerana rakyat terutama orang Melayu semakin kembali menyokong UMNO.

"Justeru, kita tidak seharusnya bersengketa kerana perpecahan dalam kalangan kita hanya akan menyebabkan UMNO menjadi lemah," katanya.

Sementara itu, beliau memuji ucapan dasar Khairy Jamaluddin yang disifatkan sebagai terbaik dan wajar dijadikan contoh kepada semua ahli pergerakan itu.

"Saya cadangkan rakaman klip ucapan beliau dihantar ke cawangan Pemuda UMNO di seluruh negara sebagai pembakar semangat," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan